Monday 4 June 2012

Profil Pemimpin Instruksional Berkesan



Pemimpin sekolah perlu memainkan peranan sebagai pemimpin instruksional selain daripada mengurus dan mentadbir sekolah. Tugas utama seseorang pemimpin instruksional ialah memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah terjamin dan dipertingkatan secara berterusan.

Menurut Brooke Willaims, seorang pemimpin instruksional yang berkesan mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Menilai pengajaran guru dan memberi maklum balas yang jujur, tulus dan ikhlas kepada guru supaya keberkesanan PDP ditingkatkan.

2. Pemimpin instruksional yang berkesan mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang PDP. Mereka tahu apa yang diperlukan untuk pembangunan profesional guru. Mereka jiga tahu apa yang diperlukan oleh murid-murid untuk belajar dengan berkesan. Bidang pengetahuan pemmpin instruksional memliputi kurikulum yang dilaksanakan di sekolah, model PDP dan pendekatan penyliana dan penilaian yang berkesan.

3. Pemimpin instruksional yang berkesan mempunyai kemahiran interpersonal yang baik. Mereka boleh memotivasikan anggota pasukan untuk berusaha ke arah yang dipimpinnya. Kemahiran interpersonal yang baik membolehkan pemimpin sekolah memujuk, memberi rangsangan dan mewujudkan semangat kerja sepasukan dalam semua lapisan sekolah.

4. Pemimpin instruksional yang berkesan mempunyai visi dan matlamat yang jelas dan mampu berkongsikan visi itu kepada pasukan yang dipimpinnya.






Friday 1 June 2012

Pemimpin Instruksional

Konsep kepemimpinan instruksional dimasyurkan pada awal tahun lapan puluhan, berdasarkan dapatan kajian yang menunjukkan bahawa sekolah yang berkesan biasanya dipimpin oleh guru besar atau pengetua yang peranan pemimpin instruksional yang tidak menumpukan semua masa dan tenaga pada hal-hal pengurusan rutin dan pentadbiran sahaja (Brookover & Lezotte, 1982). 

Michael Fullan, seorang pendidik terkenal di Kanada, mengatakan bahawa penekanan pada peranan pemimpin sekolah sebagai pemimpin instruksional ialah faktor utama yang meningkatkan kadar pembelajaran murid-murid sekolah (Fullan, 2002).

Newmann, King and Young (2000) menyatakan bahawa sekolah di mana murid-muridnya menunjukkan prestasi yang tinggi ialah sekolah yang memberi pengajaran yang berkualiti. Faktor kritikal yang menyumbang kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran sesebuah sekolah ialah kapasiti sekolah.  Menurut Newmann, King and Young, pembangunan kapasiti sekolah bergantung pada pemimpin yang memberi penekanan untuk membangunkan kompetensi, pengetahuan dan kemahiran guru, mewujudkan komuniti profesional dalam kalangan guru, memastikan kepaduan program (program coherence) yang dilaksanakan di sekolah dan membangunkan sumber teknikal yang diperlukan bagi menyokong proses pembelajaran dan pengajaan di sekolah berkaitan.   Dengan lain kata, sekolah yang berkualiti dari segi pengajaran dan pembelajaran dipimpin oleh pemimpin instruksional yang berkesan.